top of page

Aaron Aziz Akui Filem Gangster Antara Faktor Buli, Tapi Bukan Punca Utama

  • A. Zahid
  • Aug 28, 2025
  • 2 min read

Pelakon terkenal, Aaron Aziz, tidak menolak kemungkinan bahawa filem berunsurkan gangsterisme tempatan sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada peningkatan kes buli di sekolah. Namun begitu, aktor berusia 49 tahun itu menegaskan bahawa filem bukanlah penyebab utama terhadap gejala sosial yang seakan tidak berkesudahan itu.


Menurut Aaron, terdapat pelbagai lagi bentuk kandungan yang memaparkan unsur samseng, kongsi gelap dan keganasan yang jauh lebih mudah diakses golongan muda, khususnya melalui platform media sosial tanpa sebarang tapisan. Hal ini, katanya, menjadikan faktor pengaruh filem hanya sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar.


“Saya tidak nafikan filem gangster mungkin antara puncanya. Ketika KL Gangster ditayangkan, ada ibu bapa hubungi saya kerana anak mereka terpengaruh dengan adegan aksi. Saya nasihatkan mereka, tetapi pada masa sama saya tekankan bahawa bukan filem sahaja jadi punca, sebaliknya banyak lagi faktor termasuklah kandungan di YouTube,” katanya.


Tambah Aaron, isu utama sebenarnya ialah kawalan kendiri dan cara penonton menilai sesuatu paparan. Setiap karya mempunyai mesej tersendiri, namun terpulang kepada penonton untuk mengambil pengajaran positif yang diketengahkan.


Menariknya, Aaron turut berkongsi pengalaman peribadinya membantu beberapa mangsa buli yang berdepan tekanan emosi. Katanya, ada ibu bapa yang menghubunginya untuk mendapatkan bantuan, dan beliau mengambil inisiatif mendengar masalah pelajar terbabit serta memberikan nasihat.


“Malah saya pernah ke sekolah seorang mangsa buli. Saya beritahu pembuli bahawa pelajar itu adalah ‘anak buah’ saya, walaupun hakikatnya dia anak kepada rakan saya. Itu cara saya nak lindungi dia,” tambahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, baru-baru ini mendedahkan bahawa sebanyak 7,681 kes buli di sekolah telah direkodkan sepanjang tahun 2024 di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Angka ini jelas membuktikan bahawa isu buli masih menjadi cabaran besar yang memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

Comments


bottom of page