Pemuda UMNO Terengganu Teguh Sokong Akmal Hadapi Pertuduhan Mahkamah
- A. Zahid
- Aug 21
- 2 min read
Pemuda UMNO Terengganu menyatakan solidariti penuh terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang dijadual dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera, berkata pihaknya percaya pertuduhan tersebut berkait rapat dengan isu yang diperjuangkan Akmal berhubung insiden Jalur Gemilang yang dipamerkan secara terbalik, perkara yang turut mencetuskan sokongan meluas daripada rakyat.
“Kami yakin Datuk Dr Muhamad Akmal tidak bersalah dan perkara itu akan dibuktikan di mahkamah. Beliau adalah suara anak muda, dan kami akan terus berdiri teguh di belakangnya serta memberikan sokongan moral sepanjang proses perbicaraan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tengku Haphiz turut menggesa semua ahli serta penyokong agar kekal bertenang dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Katanya, Pemuda UMNO Terengganu akan terus mengikuti rapat perkembangan kes dan memastikan sokongan berterusan diberikan kepada Akmal.
Muhamad Akmal sebelum ini mengesahkan beliau akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran awam.
Terdahulu, Akmal mengetuai perarakan membabitkan kira-kira 500 penyokong daripada UMNO, Bersatu dan Pas sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas. Perarakan itu diadakan sebagai tanda protes dan penghormatan kepada Jalur Gemilang susulan insiden sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
Ekoran tindakan itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu lalu.
Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi 21 saat yang menunjukkan dua lelaki di kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas, memasang Jalur Gemilang secara terbalik hingga mencetuskan kecaman hebat warganet dan mencalar sensitiviti rakyat terhadap lambang kedaulatan negara.





Comments