top of page

JPJ Seru Peserta RXZ Members 7.0 Patuhi Undang-Undang Jalan Raya

  • A. Zahid
  • Aug 21
  • 1 min read

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru semua peserta program RXZ Members 7.0 yang dijadual berlangsung hujung minggu ini agar mematuhi sepenuhnya undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan sepanjang acara.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menekankan bahawa kerjasama peserta dengan pihak penganjur amat penting supaya program dapat berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.


“Program ini bukan sahaja menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, malah menjadi platform strategik dalam mengangkat imej budaya permotoran ke tahap lebih positif. Justeru, JPJ memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pendidikan keselamatan jalan raya serta kelancaran pergerakan para peserta,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut menyambut baik sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap penganjuran program berkenaan yang disifatkan mampu meningkatkan reputasi budaya permotoran negara. “Pengiktirafan Perdana Menteri mencerminkan peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” tambahnya.


Program RXZ Members 7.0 akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, pada 22 dan 23 Ogos ini. Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menyokong penganjuran edisi kali ini, sekali gus menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran dalam masyarakat.


Bersempena Bulan Kebangsaan, JPJ juga menyokong seruan Perdana Menteri agar para peserta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang program sebagai simbol kecintaan kepada tanah air. Dalam usaha meningkatkan budaya keselamatan, JPJ turut mengumumkan pengagihan 3,000 topi keledar percuma kepada pengunjung terawal melalui Program Pertukaran Topi Keledar.


“Sebagai agensi utama dalam bidang pengangkutan jalan, JPJ akan terus memperkukuh komitmen mendukung agenda Kerajaan MADANI, membina budaya permotoran yang positif, selamat serta berdaya maju demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” ujar Aedy Fadly.

Comments


bottom of page