Onana & Melanie: Dari Old Trafford ke Trabzonspor, Babak Baharu Kehidupan
- A. Zahid
- Sep 11, 2025
- 1 min read
Isteri penjaga gol Manchester United, Andre Onana, Melanie Kamayou, dilihat meninggalkan bandar Manchester ketika suaminya bersiap memulakan episod baharu dalam kariernya bersama kelab Turki, Trabzonspor.
Kedudukan Onana di Old Trafford semakin goyah selepas siri kesilapan yang dilakukan musim lalu. Musim ini, Altay Bayindir muncul sebagai pilihan utama, manakala kehadiran Senne Lammens pada hari terakhir jendela perpindahan menambah lagi tekanan. Onana kini jatuh ke pilihan ketiga, sesuatu yang jarang dibayangkan ketika dia menyertai United dengan reputasi besar.
Peluang kedua hadir apabila Trabzonspor tampil menawarkan pinjaman semusim untuk menyelamatkan kerjayanya. Namun, prestasi Onana masih dipersoalkan selepas dia melakukan kesilapan bersama skuad kebangsaan Cameroon ketika tewas 0-1 kepada Cape Verde.
Dalam suasana tidak menentu itu, Melanie pula kelihatan sudah bersedia untuk penghijrahan. Beliau dirakam meninggalkan Manchester yang dilanda hujan pada Rabu, lengkap dengan beberapa beg besar. Model glamor itu tampil bergaya dengan baju putih, jean biru dan jaket hitam, seolah-olah sudah menutup bab lama di England.
Kehidupan baharu mereka di Turki dijangka lebih selesa memandangkan klausa pinjaman bersama Trabzonspor dikatakan memberi kenaikan gaji kepada Onana. Pasangan ini sebelum ini menjaga privasi hubungan mereka, walaupun sudah bersama sejak 2019 dan melangsungkan perkahwinan mewah di Hotel Peninsula, Paris pada 2021. Mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki yang jarang ditonjolkan kepada umum.
Melanie sendiri bukan sekadar isteri pemain bola sepak. Beliau mempunyai 72,000 pengikut di media sosial, pernah menjadi perhatian selepas disamun di Cheshire, dan kini aktif sebagai pengerusi bersama Yayasan Andre Onana yang membantu kanak-kanak memerlukan. Wanita berusia 30-an itu juga lulusan bidang Farmasi dari Amerika Syarikat serta bergelar doktor bertauliah.
Penghijrahan ke Turki ini bukan sekadar langkah menyelamatkan karier Onana, tetapi juga permulaan babak baharu dalam kehidupan keluarga mereka.



Comments