top of page

NSFC Waspada Kebangkitan PDRM, Enggan Terbuai Kelebihan 5-0

  • A. Zahid
  • Sep 11, 2025
  • 2 min read

Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bertekad untuk mengekalkan kelebihan besar yang mereka raih pada aksi pertama ketika turun berdepan sekali lagi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC dalam saingan kedua pusingan 16 pasukan Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.


Dalam pertemuan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 18 Ogos lalu, skuad Hobin Jang Hobin tampil garang dengan kemenangan 5-0. Namun, pertahanan tengah NSFC, Zainal Abidin Jamil, mengingatkan bahawa mereka tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kedudukan itu.


Menurutnya, bola sepak penuh dengan kejutan dan sebarang kesilapan mampu mengubah nasib perlawanan. Justeru, setiap pemain yang dipilih perlu tampil dengan disiplin tinggi dan berhati-hati sepanjang 90 minit perlawanan.


“Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan jaringan 5-0 kerana macam-macam boleh berlaku. Satu kesilapan boleh membuka ruang untuk pihak lawan bangkit. Walaupun ramai beranggapan kami sudah hampir pasti ke suku akhir, hakikatnya selagi wisel penamat belum ditiup, kami tidak boleh leka,” jelasnya.


Pemain berusia 26 tahun itu turut menegaskan bahawa komitmen penuh perlu ditunjukkan bagi memastikan NSFC dapat mempertahankan kelebihan jaringan dan mara ke peringkat seterusnya. Beliau berazam memberikan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih Mohd Nizam Jamil.


Tambahnya lagi, PDRM FC pastinya akan turun dengan semangat juang tinggi, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri. Situasi itu menuntut skuad NSFC untuk mengekalkan momentum positif agar impian mara ke suku akhir tidak tergugat.


“Yang penting, kami turun dengan semangat dan fokus yang sama seperti di Paroi. Jika dapat lakukan itu, peluang untuk ke peringkat suku akhir lebih cerah,” katanya.


Untuk rekod, kali terakhir Negeri Sembilan menjulang trofi Piala FA adalah pada tahun 2010, dan pasukan ini mahu memanfaatkan peluang terbaik untuk mengulangi sejarah gemilang tersebut.

Comments


bottom of page