Nasib Pemain Warisan Bergantung kepada Rayuan FAM di FIFA
- A. Zahid
- Oct 2, 2025
- 2 min read
Masa depan pemain warisan Harimau Malaya kini berada dalam keadaan tidak menentu sekiranya rayuan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak diterima.
Menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, risiko paling besar yang menanti ialah kemungkinan kontrak pemain terbabit ditamatkan oleh kelab masing-masing, selain nilai pasaran mereka menjunam dengan mendadak.
“Sekiranya hukuman itu kekal, kesannya sangat besar. Nilai mereka pasti merosot, dan jika penggantungan 12 bulan dikekalkan, prestasi di atas padang juga akan menurun. Lebih membimbangkan, kontrak boleh ditamatkan kelab tanpa pampasan. Kalau ada pun, ia bergantung sepenuhnya kepada budi bicara kelab,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM bersama tujuh pemain warisan dikenakan tindakan tatatertib oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu dokumen. FAM dalam kenyataannya mengakui berlaku kesilapan teknikal ketika proses penyerahan dokumen oleh kakitangannya dan menegaskan perkara itu tidak dipandang ringan.
Antara pemain yang terpalit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca. Hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja melibatkan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, malah mereka turut didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) seorang. FAM sendiri dikenakan denda lebih besar iaitu CHF350,000 atau kira-kira RM1.8 juta.
Pada masa ini, FAM sedang dalam proses mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA untuk mengurangkan atau membatalkan hukuman tersebut.
Effendi yang juga ejen berpengalaman berharap rayuan itu membuahkan hasil positif demi kelangsungan kerjaya pemain berkenaan.
“Saya benar-benar berharap keputusan nanti memihak kepada kita kerana penggantungan setahun terlalu lama. Mereka kini beraksi baik di kelab masing-masing, dan sudah tentu hukuman panjang seperti ini akan merencatkan perjalanan karier mereka serta memberi kesan kepada pasukan kebangsaan,” ujarnya.







Comments