top of page

MotoGP Sepang: Aset Nasional yang Tidak Wajar Dilepaskan

  • A. Zahid
  • Aug 21, 2025
  • 2 min read

Malaysia berdepan risiko besar sekiranya hak penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak disambung selepas tamat kontrak tahun depan. MotoGP bukan sahaja menjadi acara sukan tahunan berprestij, malah ia adalah nadi utama yang mengangkat imej Sepang di mata dunia.


Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengingatkan bahawa pengalaman pahit apabila Malaysia menarik diri daripada Formula Satu (F1) lapan tahun lalu wajar dijadikan teladan. Katanya, kehilangan MotoGP akan memberi kesan yang jauh lebih besar kerana perlumbaan ini sudah sebati dengan identiti SIC sejak ia berpindah dari Batu Tiga, Shah Alam.


“Hanya MotoGP benar-benar berjaya memberi pengiktirafan antarabangsa kepada Malaysia. Perlumbaan lain tidak mempunyai konsistensi untuk menjadikan Sepang sebagai jenama global,” tegasnya.


Kini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, sedang giat mengadakan rundingan dengan pemegang hak komersial, Dorna Sports, bagi menyambung kontrak baharu. Jika rundingan gagal, Malaysia bakal kehilangan salah satu acara sukan paling penting dalam kalendar antarabangsa.


Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menambah bahawa sukan permotoran mempunyai hubungan rapat dengan rakyat Malaysia. Negara ini berada di tangga keempat dunia dari segi penggunaan motosikal, dengan lebih 80 peratus isi rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah.


“Fakta ini membuktikan kenapa MotoGP begitu dekat di hati rakyat. Kos besar penganjuran tidak boleh hanya dilihat dari sudut kewangan semata-mata. Ia turut membawa manfaat kepada industri motosikal tempatan, pembangunan bakat pelumba serta pelancongan sukan,” jelasnya.


Selain menarik puluhan ribu penonton antarabangsa setiap tahun, penganjuran MotoGP turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan, pengangkutan, cenderahati serta perniagaan kecil.


“MotoGP di Sepang terkenal sebagai perlumbaan paling panas dalam kalendar dunia kerana faktor cuaca tropika. Banyak negara mahu merebut peluang ini, maka sekiranya kita lepaskan, peluang mendapatkannya semula hampir mustahil,” ujar Pekan.


Sebagai rekod, kontrak semasa MotoGP Malaysia akan tamat tahun depan, manakala edisi 2025 dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober di SIC.

Comments


bottom of page