Malaysia Terus Kukuh Sebagai Pemain Utama Rantaian Semikonduktor Global
- Camelia K
- Sep 3
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Malaysia optimis mampu mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan dalam industri semikonduktor dunia melalui pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diperkenalkan sejak Mei 2024.
Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, keyakinan ini didorong oleh pengalaman lebih lima dekad dalam sektor tersebut, terutamanya dalam aspek pengujian dan pembungkusan yang menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur asing.
“Dengan kekuatan infrastruktur, lokasi strategik dan tenaga kerja berkemahiran, Malaysia kekal relevan dalam rantai bekalan global, terutama dalam pembungkusan canggih dan reka bentuk litar bersepadu (IC),” jelas Liew di Dewan Negara hari ini.
Katanya lagi, kerajaan kini memberi tumpuan untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi selain membangunkan syarikat tempatan agar mampu muncul sebagai syarikat multinasional (MNC) dalam bidang semikonduktor.
Antara sasaran NSS termasuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia yang mampu menjana pendapatan tahunan AS$1 bilion serta 100 syarikat berasaskan semikonduktor dengan nilai pendapatan mencecah RM1 bilion.
Sehingga suku pertama 2025, NSS telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan termasuk penyediaan latihan kepada lebih 4,500 jurutera dan tenaga teknikal, mengenal pasti 23,000 peluang pekerjaan baharu, dan menarik pelaburan berjumlah RM52 bilion – termasuk RM49.9 bilion dari pelabur asing.
Selain itu, lima syarikat reka bentuk IC tempatan turut ditubuhkan, manakala MITI melalui MIDA sedang mengenal pasti lebih banyak syarikat tempatan untuk disepadukan dalam pelbagai segmen rantaian bekalan — merangkumi bahan mentah, mesin, fabrikasi wafer dan reka bentuk IC.
Mengulas kebimbangan kemungkinan kehilangan pekerjaan susulan dasar tarif baharu Amerika Syarikat, Liew menegaskan bahawa pasaran semikonduktor Malaysia tidak hanya bergantung kepada AS.
“Rantaian bekalan kita merentasi pelbagai pasaran termasuk India, China, Jepun, Korea dan Asia Tenggara. Malah kita melihat peluang integrasi sektor semikonduktor dengan industri automotif, pertahanan dan peranti perubatan,” ujarnya.
Langkah itu, tambah beliau, akan memperluas capaian teknologi Malaysia ke pasaran bukan tradisional seperti negara-negara di Afrika dan Asia.







Comments