KPT Jelaskan Isu Pelajar STPM Gagal Diterima Masuk Program Perakaunan di UM
- Camelia K
- Sep 10
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil menjelaskan bahawa kekangan kapasiti menjadi punca seorang pelajar cemerlang STPM gagal mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman berkata pelajar tersebut memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 serta markah kokurikulum 9.90, menjadikan jumlah merit keseluruhan sebanyak 99.90 peratus. Bagaimanapun, kedudukan pelajar itu dalam senarai permohonan adalah ke-1,127 daripada 2,291 calon yang layak, sedangkan hanya 85 tempat ditawarkan bagi program tersebut.
“Walaupun pelajar ini memperoleh PNGK 4.00, masih terdapat pemohon lain yang mencatat merit penuh 100 peratus dan mengatasi kedudukannya. Oleh itu, tempat di UM tidak dapat ditawarkan kerana kekangan kapasiti,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Azlinda menjelaskan bahawa semua pelajar dengan PNGK 4.00 tetap dijamin mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam. Dalam kes ini, pelajar terbabit ditawarkan tempat di sebuah universiti penyelidikan utama yang merupakan pilihan kelima dalam permohonannya.
Beliau turut menegaskan bahawa proses pemilihan dijalankan sepenuhnya menerusi sistem UPUOnline yang berasaskan merit. Permohonan disaring daripada merit tertinggi ke paling rendah sebelum penawaran tempat dilakukan.
“Sistem ini telah lama digunakan dan berjaya menempatkan jutaan pelajar ke universiti awam secara telus dan adil,” katanya lagi sambil menyatakan KPT terbuka kepada sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikan sistem.
Mengulas mengenai kekeliruan yang timbul, Azlinda berkata pelajar berkenaan difahamkan telah menerima satu bentuk komunikasi awal daripada UM menerusi saluran terbuka (SATU). Namun beliau menegaskan bahawa keputusan rasmi hanya dikeluarkan selepas proses rayuan UPUOnline selesai.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman turut menyangkal dakwaan pelajar terbabit bahawa beliau menerima tawaran rasmi daripada universiti itu.
“Pelajar tersebut hanya mengisi permohonan dalam talian pada 16 Julai lalu dan universiti hanya mengeluarkan pratawaran atau conditional offer. Tawaran sebenar hanya akan diumum selepas tamat tempoh rayuan UPU, berdasarkan merit dan kedudukan ranking. Tiada tawaran automatik seperti yang didakwa,” katanya.
Bagi membantu pelajar yang ingin membuat rayuan, KPT membuka kaunter konsultasi UPUOnline di Ruang Legar, Putrajaya sehingga 12 September ini.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan daripada parti MCA berhubung kes seorang pelajar cemerlang yang memperoleh PNGK 4.00 tetapi gagal mendapat tempat di UM.







Comments