Ketua Audit Negara: Pemodenan audit pastikan risiko & kelemahan tadbir urus dikesan lebih awal
- Adi Dit
- Sep 9
- 1 min read
KUALA LUMPUR — Malaysia kini sedang melaksanakan pemodenan audit berasaskan teknologi untuk memastikan risiko serta kelemahan tadbir urus dapat dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi isu besar.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata antara reformasi baharu ialah Sistem e-SelfAudit yang meningkatkan ketelusan, serta Mekanisme Ketidakteraturan Serius bagi mengesan ketidakpatuhan dengan pantas.
Selain itu, Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD Dashboard) membolehkan pemantauan masa nyata, manakala teknologi AI dan analitik data raya meningkatkan ketepatan, kelajuan serta impak audit yang dijalankan.
“Dengan data masa nyata, kita boleh kesan kejanggalan lebih awal sebelum ia jadi masalah besar. Ini sesuatu yang sukar dicapai melalui audit tradisional,” katanya ketika berucap pada Persidangan ACIIA 2025 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Suraya menjelaskan, pendekatan baharu ini juga membolehkan Jabatan Audit Negara menjejaki pelaksanaan syor audit secara langsung, sekali gus menepis tanggapan bahawa isu dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak diberi perhatian.
Beliau menekankan kepentingan menetapkan KPI dan SOP yang jelas supaya setiap cadangan audit membawa penambahbaikan nyata, bukan kelemahan yang berulang tahun demi tahun.
“Budaya tata kelola yang proaktif mesti dibina atas asas pengesanan awal dan penambahbaikan berterusan. Rakyat mesti diyakinkan bahawa sumber awam diurus secara telus dan berfokus,” katanya.







Comments