top of page

Kerja Naik Taraf Infrastruktur SUKMA 2026 Berjalan Lancar, Dijangka Siap Mac Depan

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Sep 3
  • 1 min read

SHAH ALAM, 3 Sept – Kerja menaik taraf kemudahan sukan utama di Selangor bagi persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini berada di landasan yang tepat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac tahun hadapan.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan naik taraf melibatkan pelbagai fasiliti termasuk stadium, dewan milik pihak berkuasa tempatan serta Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), dengan kesemua projek berjalan mengikut jadual.


“Walaupun PADE kini dalam fasa penyelenggaraan menyeluruh, kebajikan penyewa tetap diberi keutamaan. Mereka dikecualikan bayaran dan disediakan kemudahan alternatif sepanjang tempoh naik taraf,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri percaya bahawa SUKMA bukan sekadar acara dwitahunan, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui limpahan pelancongan, sektor perhotelan, logistik dan perkhidmatan.


“Ribuan pengunjung dari seluruh negara akan hadir dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat – daripada penjaja kecil hinggalah industri berskala besar,” ujarnya.


Beliau turut yakin bahawa dengan infrastruktur moden, persiapan rapi dan sokongan padu rakyat Selangor, kontinjen negeri mampu mengulangi pencapaian cemerlang sebagai juara keseluruhan.


Namun, tegasnya, usaha ini bukan hanya untuk kejayaan temasya semata-mata, tetapi juga bertujuan membina legasi – melahirkan generasi atlet masa depan dan menjadikan sukan sebagai pemacu ekonomi serta kebanggaan negeri.


“Bersama-sama kita jadikan SUKMA 2026 sebagai temasya kebangsaan yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” tambah beliau.


SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala temasya Para SUKMA dijadualkan dari 5 hingga 14 September. Majlis pembukaan rasmi akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menandakan permulaan kepada sebuah kejohanan berprestij yang dijangka menyatukan bakat terbaik dari seluruh negara.

Comments


bottom of page