top of page

Jurulatih Palestin Akui Harimau Malaya Semakin Mantap

  • Adi Dit
  • Sep 9, 2025
  • 1 min read

JOHOR BAHRU — Ketua jurulatih Palestin, Ihab Abujazar, menolak anggapan bahawa kekalahan 0-1 skuad kendaliannya kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, berpunca daripada ketiadaan tonggak utama.


Beliau mengakui beberapa pemain penting seperti Musab Al Battat, Assad Al Hamlawi, Mohammed Saleh, Ameed Mahajna, Ameed Sawafta dan Agustin Manzur masih dibelenggu kecederaan, namun menegaskan perkara itu tidak menjejaskan persiapan pasukan.


“Walaupun tanpa mereka, kami tetap beraksi dengan baik kerana sebelum ini juga kami berdepan situasi sama. Saya ingin ucap tahniah kepada Malaysia yang jelas menunjukkan peningkatan besar dan kini boleh dianggap antara pasukan yang kuat,” katanya selepas perlawanan.


Pemain naturalisasi bukan isu


Ihab turut menepis pandangan bahawa kehadiran ramai pemain warisan dan naturalisasi memberi kelebihan luar biasa kepada skuad negara. Menurutnya, itu adalah amalan biasa dalam bola sepak moden.


“Kehadiran mereka tidak ada kaitan dengan keputusan perlawanan. Seperti yang pernah saya katakan, mereka adalah pemain Malaysia dan telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan,” katanya.


Tekanan lewat permainan


Walaupun tewas, Ihab tetap memuji barisan pemainnya yang bangkit memberikan cabaran pada 20 minit terakhir perlawanan.


“Kami berjaya memberi tekanan hebat kepada Malaysia, tetapi malangnya tidak mampu menamatkan peluang dengan jaringan,” katanya lagi.


Kemenangan tipis Harimau Malaya ini mengukuhkan keyakinan bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski berada pada landasan positif, menjelang aksi-aksi kompetitif yang lebih besar akan datang.

Comments


bottom of page