Isu Tunggakan Gaji Pemain KDN FC Kini Dalam Proses Penyelesaian
- TW
- Jul 3, 2025
- 1 min read
KOTA BHARU, 2 Julai 2025 – Pengurusan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) memaklumkan bahawa isu tunggakan gaji pemain kini dalam proses untuk diselesaikan sepenuhnya. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, mengesahkan pihak pengurusan telah menghantar notis kepada kira-kira 10 hingga 20 pemain bagi tujuan pertemuan formal dan pembayaran gaji tertunggak. Setakat ini, sebahagian pemain telah membuat pertemuan dan menerima pembayaran, sementara baki tunggakan masih dalam proses untuk diselesaikan dalam tempoh tujuh hari akan datang.
Mohd Irwan Rizal menjelaskan bahawa mesyuarat pertemuan diadakan bagi membolehkan rundingan dua hala membabitkan aspek kewangan. Beliau menambah jumlah sebenar tuntutan belum dapat dipastikan sepenuhnya dan pertemuan susulan dijadualkan untuk mengesahkan jumlah terlibat serta menyelesaikannya secepat mungkin.
Beliau turut memberitahu bahawa KDN FC yang telah menyelesaikan antara 10–20 peratus daripada jumlah tunggakan, mensasarkan agar proses pembayaran selesai sebelum liga musim 2025/2026 bermula. Ini sejajar dengan inisiatif yang dilakukan sejak bulan jun dan matlamat untuk mengembalikan fokus serta semangat pemain demi menghadapi musim yang bakal bermula.
Langkah ini menunjukkan pengurusan kelab komited untuk menunaikan tanggungjawab dan mengambil pendekatan baharu yang lebih proaktif dalam menangani isu kewangan, sekaligus menawarkan suasana yang lebih stabil kepada pemain.



Comments