FINAS Ziarah Soffi Jikan, Tanda Solidariti Buat Anak Seni
- Camelia K
- Sep 3
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menzahirkan keprihatinan terhadap pelakon berpengalaman, Mohamad Shoffi Jikan, atau lebih dikenali sebagai Soffi Jikan, yang kini menerima rawatan akibat jangkitan demam denggi dan leptospirosis di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, sebagai sebahagian daripada program Ziarah Seni MADANI — satu inisiatif khusus untuk menyantuni anak seni yang sedang menghadapi cabaran kesihatan atau kebajikan.
"Soffi Jikan merupakan pelakon serba boleh yang telah banyak menyumbang kepada dunia filem dan drama tempatan. FINAS sentiasa prihatin terhadap kebajikan penggiat seni, dan kami mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali aktif dalam industri," kata Hans dalam satu kenyataan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), bersama beberapa ahli jawatankuasa dan pegawai FINAS yang lain.
Sebagai tanda sokongan, pihak FINAS turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada pelakon KL Gangster itu.
Sebelum ini, Soffi dilaporkan menerima rawatan awal di Hospital Sungai Buloh pada Ogos lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Idris Shah susulan keadaan kesihatan yang semakin merosot.
Program Ziarah MADANI merupakan antara usaha berterusan FINAS dalam memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela, terutamanya bagi mereka yang berdepan dengan ujian kesihatan dan memerlukan bantuan segera.







Comments