top of page

Farm Fresh dan Agenda MADANI: Menyemai Harapan Baru Industri Tenusu Negara

  • A. Zahid
  • Aug 21, 2025
  • 2 min read

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kompleks Tenusu Farm Fresh di Perak sempena Karnival Usahawan Tenusu MADANI bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi simbol kepada transformasi besar yang sedang berlaku dalam industri tenusu negara. Kompleks ini menjadi saksi bahawa usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan melalui kerjasama pintar dengan sektor swasta kini membuahkan hasil nyata.


Di sebalik angka-angka yang disebut – lebih 150 pekerjaan berkemahiran untuk belia tempatan, peluang keusahawanan kepada lebih 350 pengedar susu di Perak serta hampir 1,200 ejen di seluruh negara – tersirat sebuah naratif penting: bagaimana model pembangunan inklusif boleh mengubah hidup masyarakat.


Menariknya, majoriti pengedar ini adalah suri rumah, golongan asnaf dan B40. Mereka bukan sahaja diberi peluang menambah pendapatan, tetapi juga ruang untuk menyumbang secara aktif dalam rantaian ekonomi negara.


Kompleks ini sendiri, dengan kapasiti 33,000 liter susu segar sehari, meletakkan Malaysia pada landasan lebih kukuh untuk mengurangkan kebergantungan kepada import. Lebih 50 peratus susu segar negara kini datang daripada ladang-ladang Farm Fresh – satu pencapaian yang jarang diperkatakan tetapi besar maknanya dalam konteks sekuriti makanan.


Apa yang lebih menarik ialah bagaimana Farm Fresh mengadaptasi teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), dalam operasinya. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah memperlihatkan bahawa syarikat tempatan boleh bersaing di pentas global tanpa kehilangan akar tempatan. Inilah wajah baharu industri pertanian moden – berteknologi tinggi tetapi berjiwa rakyat.


Bagi saya, kejayaan ini patut dilihat sebagai model bagaimana visi Kerajaan MADANI dapat diterjemahkan secara praktikal. Jika sektor tenusu boleh direvolusikan melalui pendekatan kolaboratif dan berasaskan teknologi, mengapa tidak sektor-sektor lain dalam agro-makanan?


Farm Fresh bukan sekadar pengeluar susu; ia kini ikon bagaimana keberanian berinovasi dan sokongan kerajaan mampu melahirkan ekosistem ekonomi yang inklusif, mampan dan berskala global. Dalam erti kata lain, dari setitik susu, kita sebenarnya sedang menyemai harapan besar buat masa depan negara.

Comments


bottom of page