FAM Akui Kesilapan Dokumen, 7 Pemain Warisan Tetap Sah Warganegara
- E. Guan
- Sep 29, 2025
- 1 min read
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan, yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu, namun menekankan bahawa semua tujuh pemain berkenaan adalah warganegara Malaysia yang sah.
“FAM ingin memaklumkan bahawa telah dikenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran. FAM mengambil serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menjelaskan bahawa FAM sedang menunggu keputusan penuh penghakiman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengambil langkah mengemukakan rayuan mengikut prosedur dan undang-undang yang ada.
Terdahulu pada Jumaat, FAM bersama tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. Menurut kenyataan rasmi badan induk dunia itu, FAM dikesan telah menghantar pertanyaan kelayakan pemain menggunakan dokumen yang telah diubah suai bagi membolehkan pemain terbabit beraksi.
Akibatnya, FAM dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta, manakala tujuh pemain tersebut masing-masing didenda RM10,000.
Antara pemain yang dinamakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kesemua mereka diturunkan ketika perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, sebelum FIFA menerima aduan rasmi berkaitan status kelayakan beberapa pemain tersebut.



Comments