Dress Taylor Swift Habis Terjual Kurang Setengah Jam Selepas Umum Bertunang Dengan Travis Kelce
- A. Zahid
- Aug 28, 2025
- 2 min read
Fenomena Taylor Swift effect sekali lagi terbukti apabila dalam tempoh tidak sampai setengah jam selepas penyanyi terkenal itu memuat naik foto pertunangannya dengan pemain bola sepak NFL, Travis Kelce, gaun yang dipakai olehnya terus habis diborong peminat di seluruh dunia.
Menurut laporan Teen Vogue, busana yang mencuri perhatian itu ialah dress belang hitam putih rekaan jenama mewah Polo Ralph Lauren. Dalam foto romantis yang dikongsi di Instagram, Taylor tampak anggun mengenakan gaun berpotongan smocked bodice dengan skirt midi A-line – gaya klasik yang feminin, santai dan sesuai dengan suasana musim panas.
Gaun tersebut dijual pada harga diskaun sekitar $319.99 (RM1,495) di laman rasmi Polo Ralph Lauren, manakala harga asal di platform Revolve mencecah $398 (RM1,860). Bagaimanapun, hanya selepas satu hantaran foto Taylor, kedua-dua laman web melaporkan stok pakaian tersebut habis terjual sepenuhnya. Fenomena ini mengukuhkan lagi status Taylor sebagai ikon fesyen global, di mana setiap pilihan gayanya menjadi trend kilat.
Pada hari yang sama, Taylor turut mengumumkan secara rasmi bahawa dirinya kini sudah bertunang dengan Travis selepas dua tahun menjalin hubungan cinta. Malah, beliau dilaporkan menerima cincin istimewa rekaan Travis sendiri yang dihasilkan bersama pereka barang kemas terkenal, Kindred Lubeck. Difahamkan, lamaran tersebut sebenarnya telah berlaku beberapa minggu lebih awal sebelum ia didedahkan kepada umum.
Hubungan cinta pasangan popular ini mula terjalin pada September 2023, selepas Taylor berpisah dengan bekas kekasihnya, pelakon Joe Alwyn. Sejak itu, mereka sering menjadi sorotan media dan peminat, bukan sahaja kerana kerjaya masing-masing dalam bidang muzik dan sukan, tetapi juga kerana chemistry mereka yang jelas terpancar di khalayak ramai.
Pengumuman pertunangan ini sekali lagi menggemparkan dunia hiburan, bukan sahaja kerana kisah romantis mereka, tetapi juga kerana setiap detik yang melibatkan Taylor Swift sentiasa membawa kesan besar – termasuk menjadikan sehelai dress habis terjual dalam masa kurang daripada setengah jam.





Comments