BWF Perkenal Undang-Undang Baharu, Pemain Dibenar Rehat 25 Saat Antara Rali Bermula 2026
- Camelia K
- Aug 14, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bakal memperkenalkan undang-undang baharu bermula 2026 yang memberikan pemain masa rehat selama 25 saat antara setiap rali dalam kejohanan terpilih, termasuk kejohanan Jelajah Dunia.
Peraturan itu diumumkan selepas sesi forum Ahli Gabungan BWF, bertujuan meningkatkan kelancaran permainan tanpa menjejaskan keperluan rehat pemain. Ia juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan sistem masa berpatutan di bawah Fasal 16.4 undang-undang permainan.
Dalam tempoh 25 saat itu, pemain bebas untuk mengelap peluh dengan tuala, minum air, menggunakan semburan, atau menukar raket tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada umpire seperti yang diwajibkan sebelum ini.
Bagaimanapun, BWF menegaskan bahawa pemain perlu bersedia sebelum masa rehat itu tamat, bagi memastikan permainan dapat diteruskan tanpa gangguan. Umpire pula masih diberikan budi bicara untuk melanjutkan tempoh rehat melebihi 25 saat sekiranya berlaku situasi khas seperti keperluan rawatan perubatan atau mop lantai.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengimbangi keperluan rehat optimum bagi pemain dengan keperluan memastikan perlawanan berjalan secara berterusan dan lancar.
Ujian awal terhadap peraturan ini telah dijalankan dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia kebelakangan ini, dengan paparan jam masa untuk rujukan pemain, jurulatih, dan pegawai teknikal. Pihak BWF yakin pendekatan baharu ini mampu meningkatkan kualiti dan pengalaman keseluruhan pertandingan.



Comments