top of page

Bersatu Jangka PRU16 Tahun Hadapan, Fokus Persiapan Dalam PAT ke-8

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Sep 3
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan besar akan berlangsung tahun hadapan, seiring dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan.


Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata jangkaan itu timbul berikutan prestasi semasa Kerajaan MADANI yang dilihat gagal mengurus isu-isu utama negara termasuk ekonomi dan kebajikan rakyat.


“Kerajaan hari ini dilihat gagal menangani tekanan kos sara hidup serta beberapa isu besar yang menimbulkan keresahan rakyat seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar dan kes buli,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8, hari ini.


Menurut Azmin, situasi semasa mendorong keperluan untuk mandat baharu bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara. Beliau berkata platform PAT ke-8 ini menjadi medan penting untuk menilai kesiapsiagaan jentera parti, memperkukuh latihan, serta membina kerjasama strategik bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN).


Ucapan Dasar Presiden dijangka menjadi tumpuan dalam merangka hala tuju menghadapi PRU akan datang.


Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata gabungan parti pembangkang pada ketika ini masih mengekalkan bentuk konsensus longgar yang memberi tumpuan kepada isu rakyat. Tiada rundingan rasmi mengenai pakatan politik baharu setakat ini.


“Kita telah menjemput semua pihak berkaitan, tetapi seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, fokus kini adalah membina muafakat dalam menangani kebajikan rakyat,” jelas beliau.


PAT Bersatu ke-8 akan berlangsung pada 6 dan 7 September di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, dan akan dirasmikan oleh Presiden Pengasas parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam pembukaan.


Sebanyak 2,555 perwakilan dari 202 bahagian dijangka hadir. Bersatu turut mengundang 94 tetamu kehormat termasuk wakil kedutaan, pimpinan parti gabungan dan NGO. Antara tokoh yang telah mengesahkan kehadiran ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Comments


bottom of page