Bekas Pemain Hoki Kebangsaan Arrifin Mohd Ghani Dilantik Pesuruhjaya Sukan Baharu
- Ramesh S
- Aug 15, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Bekas pemain hoki kebangsaan, Arrifin Mohd Ghani, dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) baharu berkuat kuasa hari ini bagi tempoh kontrak dua tahun.
Pelantikan itu diumumkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, menyaksikan Arrifin menggantikan Datuk Suhardi Alias.
Arrifin pernah mewakili skuad hoki kebangsaan dari 1989 hingga 1993, selain pernah berkhidmat di Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau merupakan graduan undang-undang dan pernah menerima pengiktirafan sebagai Ikon Alumni Sukan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Arrifin juga merupakan bekas atlet kebangsaan kedua yang memegang jawatan ini selepas Datuk Zaiton Othman pada 1982.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan menyatakan keyakinan terhadap kemampuan beliau.
“Dengan pengalaman beliau di padang, dalam pentadbiran sukan dan bidang akademik, saya yakin beliau akan memperkukuh badan-badan sukan kebangsaan. Selamat maju jaya,” katanya dalam satu kenyataan.
— Bernama



Comments