top of page

Bekas Pelajar KV Lahad Datu Dipenjara Seumur Hidup, 12 Kali Sebatan Atas Kes Buli Berakhir Tragis

  • A. Zahid
  • Aug 28
  • 2 min read

Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh rakan asramanya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam insiden pada Mac tahun lalu.


Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika menjatuhkan hukuman berkata, walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman mati, mahkamah mengambil kira faktor usia tertuduh yang kini berusia 20 tahun. Menurut beliau, sebagai pesalah muda, masih ada ruang untuk diberikan peluang agar berubah dan membina semula kehidupan sebagai seorang warganegara berguna.


Namun begitu, katanya, usia semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan hukuman memandangkan keseriusan jenayah yang dilakukan bersama 12 tertuduh lain.

Dalam penghakiman itu, 12 lagi tertuduh yang masih di bawah umur turut dijatuhi hukuman penjara sepanjang tempoh diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001. Kesemua mereka bersama pesalah utama disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, kerana menyebabkan kematian rakan asrama mereka.


Hakim menjelaskan, perbezaan hukuman dibuat kerana tertuduh utama berusia 19 tahun ketika kejadian berlaku, sekali gus tidak lagi dikategorikan sebagai kanak-kanak menurut undang-undang. Justeru, dia perlu berdepan hukuman setimpal mengikut Kanun Keseksaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim turut menegaskan bahawa isu buli sekolah bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi kes ini menjadi titik hitam apabila ia telah meragut nyawa.


Katanya, gejala itu bukan sahaja menghancurkan masa depan anak-anak, malah turut merobek harapan ibu bapa yang menghantar anak untuk menuntut ilmu tetapi akhirnya menerima mereka dalam keadaan trauma, malah ada yang tidak kembali sama sekali.

Kes ini dianggap sebagai pengajaran besar kepada masyarakat bahawa budaya buli bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi jenayah serius yang mampu mengakhiri nyawa dan membawa implikasi undang-undang paling berat.

Comments


bottom of page