Awan Gelap di Atas Azure: Bila Teknologi Jadi Senjata Penindasan
- A. Zahid
- Aug 7, 2025
- 1 min read
Bayangkan, setiap panggilan telefon anda — detik peribadi, perbualan keluarga, dan rintihan harian — dirakam, disimpan dan digunakan sebagai senjata terhadap anda. Inilah realiti warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat apabila infrastruktur awanan Microsoft Azure didakwa digunakan untuk melakukan pengintipan berskala besar oleh rejim Israel.
Menurut siasatan The Guardian, +972 Magazine dan Local Call, teknologi yang kononnya dibina untuk kemajuan dunia kini diseleweng menjadi alat penindasan. Pertemuan antara CEO Microsoft Satya Nadella dan ketua Unit 8200, agensi perisikan siber Israel, pada 2021 bukan sekadar perbualan teknologi. Ia dilihat sebagai titik mula kerjasama strategik yang membawa kepada pelaksanaan sistem pemantauan menyeluruh terhadap rakyat Palestin.
Dengan rakaman melebihi 200 juta jam audio disimpan hanya di pusat data Azure di Belanda — bersamaan 11,500 terabait — dunia seolah-olah menyaksikan satu bentuk kolonialisme digital. Nama-nama besar dalam dunia teknologi tidak lagi sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi menjadi rakan strategik kepada entiti penindas.
Ya, Microsoft menafikan mereka terlibat secara langsung. Mereka mendakwa tiada pengetahuan bahawa Azure digunakan untuk tujuan ini.
Namun, persoalannya — adakah ‘ketidaktahuan korporat’ boleh dijadikan alasan apabila nyawa manusia menjadi pertaruhan?
Kita tidak boleh menutup mata terhadap fakta bahawa data yang dikumpul ini digunakan untuk menyusun strategi serangan, malah membantu serangan udara ke atas Gaza. Ironinya, semua ini dilakukan atas nama keselamatan, walhal jelas ia melanggar prinsip asas hak asasi manusia.
Dunia harus mula bertanya: berapa harga nyawa manusia dalam ekosistem awanan global? Dan lebih penting, bila syarikat teknologi akan dipertanggungjawabkan?

Comments