“2,500 Kura-Kura Dalam Bagasi” – Lelaki India Ditahan Cuba Seludup Keluar di KLIA
- A. Zahid
- Aug 7, 2025
- 1 min read
Seorang lelaki warganegara India diberkas pihak berkuasa selepas cubaan menyeludup keluar lebih 2,500 ekor kura-kura bernilai dianggarkan RM348,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), Selasa lalu.
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) hari ini, suspek yang dijadual menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan kira-kira jam 10.05 malam selepas imbasan ke atas bagasinya menunjukkan imej yang mencurigakan di pintu pelepasan antarabangsa.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ribuan ekor kura-kura spesies Red-eared Slider yang disorokkan dalam bagasi milik suspek,” menurut kenyataan tersebut.
Kesemua haiwan yang diseludup telah disita untuk tindakan lanjut. Red-eared Slider merupakan spesies kura-kura air tawar yang kerap menjadi sasaran penyeludupan berikutan permintaan tinggi dalam pasaran haiwan eksotik, terutama sebagai haiwan peliharaan.
AKPS memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah dua peruntukan undang-undang iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Tangkapan ini sekali lagi mengingatkan kepada bahaya jenayah penyeludupan hidupan liar yang semakin berleluasa, menjadikan Malaysia antara transit utama sindiket penyeludupan haiwan eksotik ke luar negara.
AKPS menegaskan komitmen mereka untuk terus memperketat kawalan sempadan dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti haram yang mengancam biodiversiti negara.





Comments