top of page

14 Filem Tempatan Terima Insentif ITFC 2.0 Lebih RM1.1 Juta daripada Finas

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Oct 1
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Sebanyak 14 filem tempatan berjaya menerima insentif berjumlah lebih RM1.1 juta di bawah skim Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0), sebagai penghargaan atas kejayaan meraih kutipan pecah panggung.


Insentif itu disalurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menggalakkan pertumbuhan industri kreatif tempatan dan memberi suntikan semangat kepada penerbit untuk terus berkarya.


Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pencapaian kutipan filem tempatan tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan, meskipun tahun masih belum berakhir.


“Alhamdulillah, kita sudah melepasi jumlah kutipan pecah panggung tahun lepas. Ini menunjukkan minat penonton terhadap filem tempatan semakin meningkat. Apa yang kita harapkan ialah lebih ramai penerbit terus menghasilkan karya berkualiti dan menarik penonton ke pawagam,” katanya selepas majlis penyerahan insentif tersebut semalam.


Majlis penyampaian insentif disempurnakan oleh Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, serta Pengerusi Skim Wajib Tayang, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi.


Untuk rekod, pada April lalu, Finas telah mengagihkan lebih RM600,000 kepada sembilan filem daripada tujuh syarikat penerbitan. Penyerahan semalam menjadikan jumlah keseluruhan insentif ITFC 2.0 mencecah lebih RM1.7 juta bagi tahun ini.


Menurut Azmir, insentif yang diterima oleh penerbit dikira berdasarkan kutipan pecah panggung, dengan kadar 10 peratus untuk kutipan RM2 juta pertama dan lima peratus seterusnya. Bagaimanapun, jumlah maksimum insentif yang boleh diterima bagi satu filem ditetapkan pada RM500,000.


“Sebagai contoh, filem Blood Brothers mencatat kutipan berpuluh juta ringgit, namun jumlah insentif yang diterima tetap terhad kepada RM500,000,” jelas beliau.


ITFC 2.0 merupakan inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang bertujuan menyokong penerbitan filem cereka tempatan serta memperkukuh ekosistem perfileman melalui pendekatan galakan industri.


Azmir berkata insentif ini juga dilihat sebagai salah satu alternatif kepada potongan cukai hiburan yang pernah diberikan sebelum ini.


“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos penerbitan, tetapi juga memberi galakan kepada penerbit untuk menghasilkan lebih banyak filem bermutu tinggi yang mampu menguasai pasaran tempatan,” katanya.

Comments


bottom of page