top of page

Anwar Jelaskan Cadangan Tambah Pemerhati ASEAN Bukan Campur Tangan Isu Thailand-Kemboja

  • A. Zahid
  • Aug 21
  • 1 min read

Cadangan penambahan pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand adalah langkah sokongan teknikal semata-mata dan bukan bentuk campur tangan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurutnya, cadangan itu dibuat selepas timbul kebimbangan terhadap jumlah tenaga pemantau yang tidak mencukupi di lapangan. Sekiranya pasukan sedia ada terlalu kecil, tambahan pemerhati boleh diambil daripada pegawai pertahanan atau wakil kedutaan ASEAN di negara terbabit.


“Sebagai contoh, kita ada lapan pemerhati di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan (Pasukan Pemerhati Interim ASEAN) atau kedutaan untuk menyokong program ini. Tiada sebarang jangkaan luar biasa, malah kenyataan itu jelas menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu,” katanya.


Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama di majlis penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang bertemakan Enhancing Access to Justice in The ASEAN Economic Community: Bridging Legal Cooperation For Inclusive Growth.


Terdahulu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menyatakan beliau menolak permintaan Anwar untuk menghantar lebih ramai pemerhati antarabangsa. Katanya, konflik sempadan Thailand-Kemboja adalah isu dua hala yang perlu diselesaikan antara kedua-dua negara tanpa campur tangan luar.


Phumtham menjelaskan bahawa Anwar telah menghubunginya pada Selasa lalu untuk mencadangkan penempatan tambahan pemerhati, dengan alasan Pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) tidak mampu melaksanakan semua tugas secara bersendirian.


Namun, Thailand berpandangan bahawa sekiranya terdapat keperluan mendesak, ASEAN IOT boleh menggunakan atase tentera atau pegawai daripada kedutaan ASEAN yang sedia ada di negara berkenaan.


Cadangan Malaysia itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam memastikan keamanan dan kestabilan, meskipun berdepan sensitiviti kedaulatan negara anggota.

Comments


bottom of page